Sebelum pelajar mempelajari penulisan karangan dengan lebih mendalam , murid- murid digalakkan untuk memahami soalan karangan Bahasa Melayu PMR yang akan keluar dalam peperiksaan PMR. Oleh itu murid- murid akan lebih mudah mengikuti pembelajaran yang dicadangkan dalam web ini .
Berdasarkan sumber ( www.tutor.com.my ), dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), para calon akan diarahkan untuk menghasilkan dua buah karangan dalam kertas 2 Bahasa Melayu.
Bahagian B
Pada bahagian ini, para calon diarahkan untuk menjawab soalan ini mengikut arahan yang diberikan. Di bahagian ini juga hanya terdapat satu soalan dan calon wajib menjawab soalan ini tanpa mempunyai pilihan soalan yang lain. Soalan ini merupakan karangan berdasarkan bahan rangsangan. Hal ini bermakna, calon akan diberikan soalan berpandukan bahan rangsangan yang diberikan seperti bentuk graf, carta pai, ataupun jadual. Bahan rangsangan tersebut akan dapat membantu para calon dalam menjawab soalan ini. Calon dikehendaki untuk membuat karangan tidak melebihi 120 patah perkataan manakala masa yang dicadangkan adalah selama 30 minit. Markah yang diperuntukkan untuk karangan jenis berdasarkan bahan rangsangan adalah sebanyak 20 markah.
Bahagian C
Pada bahagian ini terdapat lima pilihan soalan yang diberikan. Para calon dikehendaki untuk menjawab satu soalan sahaja. Soalan ini merupakan karangan jenis respons terbuka. Karangan pada bahagian ini menuntut calon supaya menggunakan kemahiran menulis karangan serta kreativiti dalam mengolah ayat dan ilmu pengetahuan yang sedia ada. Kesemua lima soalan ini mempunyai dimensi yang tersendiri. Sebagai contohnya, tema soalan pertama ialah dimensi diri, soalan kedua ialah dimensi keluarga, soalan ketiga ialah dimensi masyarakat, soalan keempat merupakan dimensi negara, manakala dimensi dalam soalan yang kelima ialah peribahasa. Soalan ini mengkehendaki calon untuk menulis lebih 180 patah perkataan dengan masa yang dicadangkan adalah sebanyak 45 minit. Markah yang diperuntukkan untuk soalan jenis karangan respons terbuka adalah sebanyak 40 markah.